SEJARAH MASJID


Masjid yang dibina seawal tahun 1900 masehi masih megah berdiri setelah mengalami beberapa kali perubahan. Masjid yang dibina atas niat yang suci dan ikhlas oleh penduduk setempat tetap bersemarak walaupun lebih seabad usianya.

Nama asal masjid ini ialah Masjid Tumpat. Setelah beberapa dekad dibina dan selepas mengalami pengubahsuaian dan perubahan, masjid ini kemudian dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail diberi nama sempena nama baginda.

Tapak asal masjid yang berpaya dan mengalami pasang surut air laut telah mempengaruhi struktur asas binaannya. Bentuk asalnya bertiang tinggi, mempunyai 5 anak tangga. Tangga asal terletak di sebelah hulu dan hilir masjid, selain di belakang. Bangunan masjid asal ini dapat memuatkan hanya 100 orang jemaah.

Perluasan tapak dan ruang ibadat telah melalui beberapa peringkat. Perubahan pertama terjadi pada tahun 1923, apabila tiang dan bilangan anak tangga direndahkan daripada 5 kepada 3 anak tangga. Kemajuan ini dibuat setelah tapaknya ditimbus dengan menggunakan sampah dan pasir bagi menutupi paya dan alur sungai yang merentangi dari Kampung Tanjung Che Mas ke Padang Keretapi Tumpat.

Perubahan peringkat kedua terjadi sekitar tahun 1968. Kali ini dari bangunan kayu kepada bangunan batu. Bahan binaan asal (kayu), selain digunakan sebagai bahan sokongan pembinaan, ia juga diguna bagi mendirikan sebuah sekolah PASTI dalam kawasan masjid. Seawal tahun 1970 masjid baru telah dapat diguna sepenuhnya.

Kini, Masjid Ismaili dapat menampung seramai 1500 ahli jemaah pada satu masa.



KEMUDAHAN YANG TERDAPAT DI MASJID

Kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah stor yang dijadikan sebagai tempat menyimpan barang. Tandas, tempat wuduk lelaki dan perempuan juga disediakan di masjid ini. Tempat parking berbumbung turut disediakan di masjid ini hanya untuk motosikal dan kereta. Selain itu, terdapat juga tempat parking terbuka yang dapat memuatkan 10 buah kenderaan dalam satu masa. Masjid ini menyediakan pejabat bagi menguruskan urusan pentadbiran. Selain itu, terdapat bilik mensyuarat yang digunakan sebagai tempat perjumpaan ahli AJK masjid. Bilik imam dan bilal turut disediakan untuk sebagai tempat penginapan imam dan bilal.


KEISTIMEWAAN MASJID


Keistimewaan masjid ini ialah masjid ini menyediakan alat penapis air pada 30 batang paip di masjid ini yang telah menelan belanja sebanyak RM7000. Selain itu, masjid ini juga menyediakan kerusi urut elektrik yang berada di dalam ruang ruang solat utama dan semua ini untuk kemudahan para jemaah.

Comments

POPULAR POST